Cyberita Online Santai - February 28, 2005

Santai : 28 Februari 2005
INTERVIU DENGAN 'ORANG KUAT' FILEM ANIMASI TV

NAGA KACUKAN

Dua sahabat hasilkan 'American Dragon: Jake Long' untuk papar naga bukan haiwan ganas

Oleh
Haryani Ismail

LELAKI yang berubah menjadi keluang (Batman) atau labah-labah (Spiderman).

Wanita yang bertukar menjadi kucing (Catwoman) dalam sekelip mata.

Tetapi, pernahkah anda dengar tentang budak lelaki berpapan lungsur yang mampu jadi naga bermulut api yang dapat menyelamatkan keadaan huru-hara?

Inilah yang kelihatan dalam siri kartun Disney, American Dragon: Jake Long yang kini ke udara di saluran Disney Channel pada 10 pagi dan 6 petang setiap Sabtu dan Ahad.

Siri tersebut membawa anda menyusuri kehidupan seorang kanak-kanak berketurunan Cina-Amerika, Jake Long, yang memiliki identiti rahsia sebagai naga yang bertapa dengan Tok Gurunya, Lao Shi.

Dia berketurunan naga dan mampu mengubah dirinya menjadi binatang yang mengeluarkan api daripada mulutnya untuk melindungi binatang lain di New York.

Dalam kesibukannya menjadi Superhero, Jake sempat bercinta dengan Rose, teman sekolahnya dan menjalani kehidupan seperti remaja lain yang juga 'kaki papan lungsur'.

Dalam diam-diam, Rose pula adalah pembunuh naga yang memburu binatang ajaib itu pada waktu malam.

Mendengar tentang kisah ini, mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana penciptanya, Jeff Goode, mendapat idea tersebut dan mengapa unsur-unsur Cina diterapkan dalam kartun ini.

Ketika dihubungi Ekstra melalui panggilan jauh dari Amerika Syarikat, Jeff, yang dikenali kerana siri MTV, Undressed, berkata:

'Populariti kisah-kisah fantasi seperti Harry Potter dan Lord of The Rings mencetuskan segalanya.

'Idea original saya ialah untuk menghasilkan suatu kisah seperti Harry Potter yang menepati cita rasa semua orang tanpa mengira usia tetapi tampak lebih ringkas dan penuh dengan babak-babak aksi.

'Saya memang meminati naga. Sudah berulang kali menulis tentang naga yang menakjubkan. Cuma sayangnya, naga sering dipaparkan sebagai raksasa kejam dalam mitos Eropah.

'Walhal dalam mitos Timur, naga adalah binatang bijak yang berani dan mampu menjadi pelindung. Naga juga subjek menarik sebab ia wujud dalam budaya hampir setiap negara.'

Menurutnya, Amerika adalah satu-satunya negara yang tiada mitos naga.

'China adalah tamadun lama. Sebab itu ia banyak naga. Amerika pula adalah antara negara baru, jadi inilah kisah tentang naga Amerika pertama di dunia.

'Anda terfikir tak keadaannya kalau Amerika ada naga yang pertama dan berdarah muda. Dia adalah campuran Timur dan Barat... maksud saya separuh Cina.'

Namun, untuk menghasilkan kartun ini, Jake perlu 'bertapa' dan menimba ilmu dan sumber rujukan daripada budayawan, Profesor Yunxiang Yun, dari Universiti California (UCLA).

Penerbit Eksekutif dan Pengarah siri televisyen ini, Christian Roman, pula menambah:

'Kami juga berulang kali ke Taipei, mengunjungi muziumnya dan memetik beberapa gambar sebagai rujukan.'

Bagaimanapun, dalam kesibukan mereka, masing-masing seronok sebab bekerjasama dengan banyak pihak dan banyak belajar tentang naga.

'Kami jadi 'mabuk naga'. Bagaimanapun, pada masa yang sama, kami dapat ubah ciri-ciri naga itu untuk menjadikannya unik,' ujar Christian lagi.

Ternyata, Jeff dan Christian mampu mengubah imaginasi mereka menjadi animasi yang baik.

Ingin tahu apa yang buat mereka begitu 'mesra' dengan kartun walaupun masing-masing sudah pun bergelar bapa?

'Saya suka tengok kartun Scooby-Doo,' ujar Jeff.

'Saya pula hantu kartun. Selalu tengok animasi Jepun, Speedracer. Jalan ceritanya baik, watak-wataknya menarik

'Bugs Bunny, Mickey Mouse dan Goofy pun banyak mempengaruhi idea saya kini dengan senda gurau mereka yang bersahaja,' kata Christian.

back to Press Page